Posted by : canalius Sunday, February 4, 2018

1.1 PENGENALAN

·   13 Mei 1969 menjadi titik hitam dalam sejarah Malaysia. Pertelingkahan antara kaum ketika itu menyebabkan kehilangan banyak nyawa terutamanya dalam kalangan kaum Cina dan Melayu. Peristiwa berdarah ini sangat berkait rapat dengan keputusan Pilihan Raya Umum Persekutuan 1969 yang memperlihatkan kekalahan teruk parti Perikatan (gabungan MC A, MIC dan UMNO). Walaupun Parti Perikatan masih menguasai Dewan Rakyat tetapi bukan 2/3 kerusi. Peristiwa ini agak kontroversi kerana kejadian sebenar rusuhan yang terburuk dalam sejarah negara masih tidak diketahui oleh rakyat Malaysia Punca tersebut bukan hanya dikaitkan dengan keputusan Pilihan Raya Umum 1969 tetapi juga ada teori lain yang boleh dipercayai. Ia berkaitan dengan masalah dalaman dalam Parti UMNO sendiri. Secara sepintas lalu, perkembangan isu-isu politik sekitar dekad 1960-an ini telah menjadi coretan sejarah yang tidak dapat dilupakan ditambah lagi dengan tercetusnya pertumpahan darah tersebut. Selain itu, soal-soal yang berkaitan dengan ekonomi dan sosial turut menjadi faktor pencetus rusuhan tersebut.

2.1PERISTIWA 13 MEI 1969

·   Kejadian bermula di Kampung Baru sebelum merebak ke serata Kuala Lumpur. Rusuhan 13 Mei melibatkan kaum Melayu dan Cina sesudah keputusan Pilihan Raya Umum 1969 diketahui. Parti Perikatan telah mengalami kekalahan teruk dengan parti pembangkang. Walaupun secara dasarnya, Parti Perikatan masih memegang tampuk pemerintahan negara Malaysia tetapi bukan secara 2/3 dan ini mengukuhkan kedudukan pembangkang dalam negara. Kejayaan parti pembangkang (PAS, DAP, GERAKAN, dan Parti Progresif Rakyat (PPP)) menjadi sejarah baharu memecahkan monopoli Parti Perikatan setiap pilihan raya umum yang sentiasa menguasai kerusi Dewan Rakyat. Keputusan Pilihan Raya Umum 1969 menyaksikan Parti Perikatan menang 66 kerusi, PAS 12 kerusi, DAP 13 kerusi dan GERAKAN 8 kerusi dan PPP 4 kerusi. Angka rasmi korban: 196 orang, 180 orang cedera akibat senjata api, 259 orang: cedera akibat senjata lain, 9143 orang ditangkap dan 5561 orang daripadanya didakwa di mahkamah, 6000 kehilangan tempat tinggal, dan sekurang-kurangnya 211 kenderaan dan 753 bangunan musnah atau mengalami kerosakan.
·         Korban yang banyak akibat rusuhan adalah di pihak orang Cina.

3.1 Isu-isu Politik yang Mempengaruhi Perkembangan Sejarah Malaysia Pada Dekad 

1960-an sehingga tercetusnya rusuhan 13 mei 1969.


3.1.1  Isu Hak Keistimewaan Melayu
·         Di peringkat awal, perkara utama yang terangkum dalam hak keistimewaan ialah, tanah rezab Melayu, kuota untuk kemasukan dalam perkhidmatan awam, kuota untuk lesen perniagaan, biasiswa dan perkara-perkara yang berkaitan dengan pendidikan.
·         Hak-hak ini juga telah diakui dan termaktub dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. ia menjadi asas perundangan untuk Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan dimasukkan dalam RMK-2 dan RMK-3.
·         Pada tahun 1961, Tunku menerima kemasukan Singapura dalam Pesekutuan Malaysia yang majoriti rakyatnya Cina. Ia berkait rapat dengan keyakinan yang diberikan Lee Kuan Yew bahawa Tanah Melayu menjadi lebih berbahaya jika Singapura tidak dimasukkan kerana adanya ancaman komunis.
·         Pada Julai 1964, berlaku rusuhan di Singapura antara orang Melayu dan Cina ketika perarakan Maulud Nabi. Ia disebabkan oleh risalah-risalah yang tersebar sehari sebelumnya mendesak orang Melayu melakukan jihad menentang orang Cina dengan menyembelih mereka jika ditemui.
·         Singapura akhirnya berada dibawah perintah berkurung. Namun begitu, banyak orang telah terbunuh dan tercedera.
·         Pada April 1965, Lee Kuan Yew secara terang-terangan mencabar hak keistimewaan orang Melayu. Ia dikatakan hanya membantu sekumpulan keil golongan bangsawan Melayu untuk menjadi pemodal dan tidak membantu golongan yang sepatutunya seperti para petani.
·         Perhubungan antara Melayu-Cina bertamabah kusut menjelang Mei 1965.
·         Lee Kuan Yew telah mencabar mengikut sejarah bahawa “orang-orang Melayu mula berhijrah ke Malaysia dalam bilangan yang kecil, Cuma kira-kira 700 tahun dahulu. Daripada 39 peratus orang-orang Melayu hari ini, kira-kira satu pertiga daripada mereka adalah pendatang-pendatang baru seperti Setiausaha Agong UMNO, Dato’ Syed Ja’afar Albar, yang telah datang ke Tanah Melayu dari Indonesia sebelum perang, ketika berusia lebih daripada 30 tahun. Dari itu, adalah tidak salah dan tidak logiik bagi sesuatu kumpulan yang tertentu itu memikirkan bahawa mereka adalah lebih adil dipanggil rakyat Malaysia, dan orang lain boleh menjadi rakyat Malaysia dengan kegemaran mereka.”
·         Ia ditentang hebat oleh UMNO dan pada 9 Ogos 1965 Tunku umumkan perpisahan Singapura di Dewan Rakyat. Rusuhan hampir berlaku ketika itu.

3.1.2   Isu Perkauman Dalam Pilihan Raya 1969
·         Ketika kempen pilihan raya 1969, ahli-ahli politik dari kalangan parti pembangkang membangkitkan soal-soal bangsa Malaysia dan bahasa kebangsaan, kedudukan isitimewa orang Melayu dan kerakyatan orang bukan Melayu.
·         Misalnya, Parti DAP mengatakan bahawa jikalau mereka memenangi pilihan raya kali ini mereka akan menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu itu.
·         Setelah Parti Perikatan gagal memperolehi majoriti 2/3 di parlimen, ia disifatkan oleh ahli pembangkang sebagai kemenangan besar mereka. Ketika itu, 89 kerusi yang dimenangi pada tahun 1964 telah menurun kepada 66 kerusi pada tahun 1969.
·         Parti pembangkang meraikan kemenangan itu pada 11 Mei 1969 dengan lakukan perarakan yang pada awalnya bukanlah bermotifkan politik. Terdapat segelintir pengikut telah mengeluarkan slogan-slogan negatif berkaitan isu perkauman ketika di jalan-jalan raya sekitar Kuala Lumpur.
·         Pada 12 Mei 1969, perarakan dilakukan lagi menerusi kawasan Melayu. Perarakan ini dilakukan oleh GERAKAN dan DAP tetapi mendapat permit polis. Namun begitu, perarakan melencong dari laluan yang ditetapkan dan melalui kawasan Melayu di Kampung Baru dan menyorak penduduk di situ.
·         Sesetengah penunjuk perasaan membawa penyapu yang dikatakan sebagai simbol menyapu keluar orang Melayu dari Kuala Lumpur, sementara yang lain meneriak slogan tengelamnya kapal Perikatan.
·         Pada 13 Mei 1969, Parti Gerakan mengeluarkan kenyataan meminta maaf di ata kelakuan penyopkong mereka tetapi Menteri Besar Selangor, Harun Idris telah mengumumkan perarakan balas pada pukul 7.30 malam, 13 Mei 1969.
·         Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman mengatakan bahawa keganasan itu berlaku akibat tindak tanduk penyokong pembangkang selepas keputusan pilihan raya diumumkan, manakala timbalannya Abdul Razak menyalahkan komunis.

3.1.3   Isu Persatuan-Persatuan Etnik
·         Masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan lahirnya banyak persatuan yang berasaskan kaum masing-masing.
·         Ia menimbulkan syak wasangka di antara satu lain kerana saling memperjuangkan kepentingan kumpulan kaum masing-masing tanpa hiraukan kaum lain.
·         Parti-parti politik yang berbentuk perkauman seringkali mengeksploitasi perbezaan-perbezaan yang wujud dan menimbulkan rasa tidak puas hati antara kaum.

3.1.4   Teori menggulingkan Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman
·         Rusuhan 13 Mei 1969 ini banyak kontroversinya dalam politik Malaysia. Ada yang mengatakan ia adalah kesinambungan daripada tindakan agresif Singapura sebelum dipisahkan, ada juga versi yang mengatakan bahawa ia adalah berkait rapat dengan perasaan tidak puas hati kedua-dua pihak terhadap Perjanjian Malaysia 1963 dan sebagainya.
·         Satu versi lagi adalah mengenai masalah dalaman dalam Parti UMNO sendiri. Tunku Abdul Rahman dikatakan lemah kerana banyak tunduk kepada tuntutan masyarakat Cina dan membelakangkan masyarakat Melayu sendiri.
·         Kekurangan maklumat awam mengenainya menjadi batu penghalang bagi mereka yang ingin mendedahkan apa yang berlaku sebenarnya.
·         Namun begitu, seorang ahli sosiologi, Dr Kua Kia Soong mendapat peluang untuk mencari kebenarannya.
·         Beliau telah meneliti rekod an dokumen di Pejabat Rekod Awam di London mengenai 13 Mei yang dideklasifikasikan selepas luputnya tempoh 30 tahun dokumen berkenaan dideklasifikasikan sebagai rahsia.
·         Hasilnya, rusuhan 13 Mei bukanlah akibat keganasan kaum sepertimana yang telah digambarkan kepada rakyat Malaysia.
·         Laporan rasmi tentang sejarah tersebut penuh dengan karut-marut dan tidak mendedahkan apa-apa. Pembangkang bukanlah puncanya.
·         Ia adalah berkaitan dengan golongan kapitalis dalam UMNO, elemen-elemen dalaman yang merancang dan melaksanakan pelan ini. Ada rancanganya berdasarkan kepada mereka yang berkumpul di kediaman menteri besar (Selangor).
·         Dr Kua menegaskan bahawa ia merupakan satu ‘coup d’etat’ atau rampasan kuasa terhadap Tunku oleh golongan kapitalis Melayu yang muncul ketika itu yang disokong oleh polis dan tentera untuk merampas kuasa daripada aristokrat lama bagi melaksanakan agenda baru Melayu.
·         Beliau berpendapat bahawa rusuhan iatu adalah perbuatan ‘samseng Melayu’ yang disokong oleh ahli-ahli politik di belakang rancangan rampasan kuasa tersebut.
·         Sebagai contohnya, kata beliau “sekumpulan samseng Melayu tiba-tiba muncul dari semua penjuru” pada 13 Mei untuk berkumpul di kediaman Datuk Harun dan tindak-tanduk polis dan tentera yang boleh dipersoalkan yang hanya berdiri dan memerhatikan sahaja apa yang sedang berlaku.
·         Dokumen-dokumen di London juga menunjukkan, kurang daripada seminggu selepas rusuhan tersebut, Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak yang mempengerusikan majlis Operasi Negara diberikuasa penuh untuk mentadbir negara-satu petanda wujudnya komplot mengenainya.
·         Satu lagi dokumen rahsia dari pejabat kabinet British, menunjukkan tidak sampai seminggu selepas rusuhan itu berlaku, Agensi Perisikan Pusat (CIA) dapat mengesan apa yang sedang dirancang oleh Tun Abdul Razak ‘untuk memperkukuhkan ketuanan Melayu, meminggirkan kaum Cina dan mengenepikan Tunku’.
·         Dr Kua turut mempersoalkan peranan pasukan keselamatan yang pada hari rusuhan itu berlaku.“malah, ketika itu, kalangan diplomatik (juga tertanya-tanya) mengapakah, pada hari rusuhan itu berlaku, Razak bertemu dengan pegawai tinggi polis dan tentera        tetapi mereka tidak berbuat apa-apa’.
·         Lebih menarik lagi, kata Dr Kua, pasukan keselamatan Malaysia adalah sebuah pasukan yang berpengalaman luas semwaktu melancarkan peperangan terhadap pengganas komunis antara 1948 dan 1960 dan bereputasi tinggi.
·         Angka korban yang tidak diketahui juga menjadi satu kontroversi. Jumlah korban sebenar masih menjadi rahsia.
·         Dokumen yang digunakan dalam pendedahan ini termasuklah laporan-laporan yang dibuat oleh wartawan asing yang berada di Kuala Lumpur, laporan kakitangan Pesuruhjaya Tinggi British yang memantau insiden tersebut dan pelbagai lagi laporan sulit dari kalangan diplomat.
·         Dr Kua membuat kesimpulan: “Peristiwa 13 Mei adalah helah untuk merampas kuasa, saya bukanlah orang pertama yang berkata bahawa ia adalah satu rampasan kuasa, tetapi saya menyediakan dokumen yang menunjukkan bahawa ia adalah satu rampasan kuasa’.
3.2 Isu ekonomi
            3.2.1 Jurang Perbezaan Pendapatan
·         Kegiatan ekonomi yang berbeza antara kaum telah mewujudkan jurang pendapatan antara kaum dengan kaum yang lain sehingga timbul rasa tidak puas hati.
·         Masyarakat Melayu kebanyakkan terdiri daripada petani yang tinggal di kampung manakala masyarakat Cina telah mewarisi pekerjaan turun temurun keluarga mereka iaitu berniaga dan kebanyakkan tinggal di bandar.
·         Orang-orang Cina dan India telah menguasai kehidupan ekonomi negara sementara orang Melayu amat kurang peluang untuk mengambil bahagian dalam kehidupan ekonomi moden.
·         Ketidakseimbangan ini menyebabkan setiap kaum saling mencemburui antara satu sama lain.
·         Dalam konteks ini, orang Melayu mencemburui kemewahan dan kejayaan orang Cina sementara orang Cina mencemburui kelebihan orang Melayu yang mendapatkan peluang perkhidmatan dalam sektor pentadbiran.
·         Perkembangan ekonomi yang wujud dekad 1960-an ini lebih kepada setiap kaum cuba untuk meningkatkan taraf pendapatan mereka dan sehingga satu tahap yang menyebabkan setiap kaum tidak mampu bertahan sehingga membawa kepada rusuahan kaum 13 Mei 1969.

3.3      Isu Sosial
            3.3.1 Isu Bahasa
·         Tahun 1964 hingga 1967, isu yang paling hangat ialah mengenai isu bahasa.
·         Kedudukan bahasa Inggeris semakin kukuh telah menimbulkan perasaan tidak puas hati kepada orang Melayu.
·         Bagi orang Cina yang bersikap cauvinis merasakan jika tuntutan mereka terhadap bahasa Cina tidak dapat dipenuhi, maka mereka lebih rela untuk menggunakan bahasa Inggeris.
·         Sikap orang Cina ini adalah disebabkan mereka menganggp bahasa Melayu itu sangat inferior.
·         Keadaan ini menyebabkan orang Melayu berasa tergugat dan sangat tidak puas hati apabila melibatkan mengenai isu bahasa dan mahu pemimpin-pemimpin Melayu berusaha dalam mengembalikan maruah dan kewibawaan bahasa Melayu.
·         Malah orang Melayu semakin bimbang dengan adanya golongan-golongan dalam MCA yang mahu mendesak supaya bahasa Cina dihormati dan diterima sebagai bahasa rasmi untuk digunakan secara luas di seluruh negara.
·         Oleh itu, isu bahasa yang timbul adalah antara isu yang mendapat perhatian dalam dekad 60-an dan merupakan salah satu isu yang dijadikan motif dalam pilihan raya untuk meraih sokongan rakyat.




 3.3.2 Isu Pendidikan
·         Isu pendidikan amat bersangkut paut dengan isu bahasa.
·         Sebelum Laporan Razak dikemukakan, Malaysia tidak mempunyai satu asas atau sistem pendidikan nasional.
·         Wujud empat aliran pendidikan yang berlainan iaitu aliran Inggeris, Melayu, Cina dan India.
·         Bagi kaum India mereka telah menggunakan silibus yang diambil dari negara India untuk diajar kepada anak-anak mereka, begitu juga dengan kaum Cina dan Melayu.
·         Dalam aspek pendidikan juga, keutamaan diberikan kepada Bahasa Inggeris sehingga menyebabkan kedudukan lepasan-lepasan sekolah kebangsaan Melayu semakin merosot.
·         Tambahan itu lagi, pelajar lepasan dari sekolah Melayu tidak dapat melanjutkan pelajaran dalam bidang yang mereka inginkan kerana peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi hanya eksklusif untuk pelajar lepasan Inggeris.
·         Jika dilihat daripada pilihan raya, parti Perikatan tidak mahu menyentuh perkara-perkara yang berkaitan dengan bahasa dan pelajaran.
·         Sementara, pihak pembangkang pula, mereka lebih menumpukan kepada dasar bahasa dan pelajaran kerajaan perikatan.
·         Mislanya, Parti Tindakan Demokrat atau Democratic Action Party (DAP) yang ditubuhkan oleh bekas PAP dari singapura telah mengeluarkan manifesto Tiga Matlamat atau Our Triple Object bagi menghadapi pilihan raya pada tahun 1969.
·         Parti tersebut telah berjanji akan memberikan taraf rasmi bagi bahasa-bahasa Cina, Tamil dan Inggeris.
·         Mereka juga menuntut supaya bahasa tersebut akan digunakan di tempat-tempat awam, surat menyurat kerajaan, Parlimen dan Dewan Negeri.
·         Menyentuh mengenai dasar pelajaran, DAP bercadang menggunakan semua bahasa sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah dan bahasa kebangsaan digunakan sebagai matapelajaran yang wajib sahaja.
·         Cadangan ini mendapat tentangan daripada orang Melayu kerana dianggap keterlaluan.
·         Jika hal ini dibenarkan maka tidak hairan jika DAP ingin mengambil langkah yang seterusnya iaitu akan menjadikan bahasa Cina sebagai bahasa rasmi pula.
·         Bagi Parti Progresif Rakyat pula menuntut satu sistem pendidikan yang meliputi empat bahasa pengantar.
·         Slogan yang mereka gunakan adalah seperti “Kami akan terus memperjuangkan pengiktirafan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa rasmi selain daripada bahasa Melayu.”
·         Seterusnya ialah Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang dikuasai oleh orang Melayu telah menuntut supaya pendidikan diberi kepada semua lapisan rakyat dengan tidak mengira golongan kelas-ekonomi.
·         Manifesto PRM adalah mahu sistem pendidikan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar yang utama, memansuhkan pengajaran bahasa Inggeris sebagai suatu matapelajaran di peringkat sekolah rendah, sementara mahu memulakan bahasa antarabangsa dan saintifik seperti bahasa-bahasa Perancis, Rusia, Jerman dan Cina di peringkat menengah
3.3.3 Isu Perbezaan Agama Dan Kebudayaan
·         Kaum Melayu sebahagian besarnya beragama Islam, kaum Cina beragama Buddha, Lao Tza, Taosime, Conficius manakala kaum India Bergama hindu, terdapat juga beragama kristian.
·         Setiap kaum mempunyai kebudayaan yang tersendiri.
·         Masalah perpaduan ini bukannya bermula disebabkan agama yang berbeza tetapi akibat daripada sikap jahil terhadap agama-agama lain hingga banyak perkara yang dilakukan secara tidak sengaja telah menyinggung emosi penganut agama lain.

3.3.4   Isu Pentadbiran semasa pendudukan Jepun
·         Jepun telah mengakui wujudnya perbezaan kaum yang utama di Tanah Melayu, iaitu orang-orang Melayu, Cina dan India.
·         Pentadbiran Tentera Jepun cuba mempengaruhi cara berfikir orang Melayu-Indonesia agar cendurung kepada Tanah Melayu.
·         Jepun sentiasa menaruh perasaan syak wasangka kepada orang-orang Cina, memandangkan pertahanan Cina yang kuat yang pernah mereka hadapi dalam perang Jepun-Cina pada tahun 1937.
·         Orang-orang Melayu hidup secara bersendirian, mereka tidak lagi mendapat perlindungan Inggeris.
·         Dalam beberapa perkara, mereka tidak pula menentang Jepun, tidak seperti orang-orang Cina.
·         Beribu-ribu orang Cina telah dibunuh oleh Jepun ketika mereka menegakkan kuasa dalam masa beberapa hari pendudukan mereka di negara ini.
·         Dasar pecah dan perintah yang diamalkan oleh Jepun yang menyukai orang-orang Melayu menentang kaum Cina telah member kesan buruk dalam menyemarakkan perasaan permusuhan kaum yang kian tebal.
·         Jepun juga telah melantik orang Melayu sebagai askar dan polis berbeza dengan orang Cina yang tidak diberi peluang  untuk menjawat sebarang jawatan.
·         Ketika itu kebanyakan orang Cina menyertai MPAJA (Malaysian People Anti Japanese Army).
·         Keadaan bertambah buruk apabila kebanyakan tentera Jepun yang menyerang MPAJA ialah terdiri daripada orang Melayu dan ini telah menimbulkan persengketaan antara orang Melayu dengan Orang Cina dan kemuncaknya ialah pada 13 Mei 1969.

4.1 ANALISIS
Berdasarkan soalan ini, kami berpendapat bahawa perkembangan isu-isu politik sememangnya telah mempengaruhi perkembangan sejarah Malaysia pada dekad 1960-an sehingga tercetusnya rusuhan 13 Mei 1969. Isu-isu yang berlaku telah menghangatkan lagi suasana tegang dalam perkauman orang Melayu dan orang bukan Melayu. Peristiwa 13 Mei tercetus selepas berlangsungnya pilihan raya umum 1969 yang telah diadakan pada 10 Mei 1969 yang dilihat sebagai “turning point” dalam sejarah negara Malaysia. Namun begitu, bibit-bibit ketegangan kaum telah tercetus lebih awal lagi dan keputusan pilihan raya 1969 hanya merupakan kemuncak kepada ketegangan hubungan Melayu-Cina itu. Jika diteliti dalam menghadapi pilihan raya pada tahun 1969, parti-parti pembangkang telah mempergunakan soal-soal bahasa dan pelajaran sebagai isu utama dalam mendapat sokongan dan menarik undian daripada rakyat Malaysia. Bagaimanapun, keikhlasan para pembangkang tidaklah dapat diketahui, namun yang pasti, manifesto politik yang dibawa oleh parti masing-masing adalah mengikut kepentingan kaum masing-masing sahaja. Sesungguhnya perkembangan isu-isu politik sememangnya memainkan peranan penting dalam perkembangan sejarah Malaysia, namun pada masa yang sama, perkembangan isu-isu sosio-ekonomi juga membawa pelbagai kesan yang signifikan dalam sejarah negara ini.
5.0        KESIMPULAN

Rusuhan dan kekacauan yang tercetus akhirnya telah membawa kepada pengisytiharan darurat pada 14 Mei 1969 oleh Yang Di-Pertuan Agong. Pada masa yang sama, perlembagaan dan parlimen telah digantung malah Pilihanraya Malaysia Timur turut ditangguhkan. Selaras dengan itu, Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah dibentuk dan Tun Abdul Razak telah dilantik sebagai pengarahnya. Majlis tersebut turut dianggotai oleh Tan Siew Sin dan V.T. Sambanthan, wakil bagi MCA serta MIC. Selain itu, MAGERAN turut diwakili oleh perwakilan polis, tentera dan pentadbiran awam. Malah kerajaan turut mengambil inisiatif dengan menyusun semula masyarakat dan melaksanakan Dasar Ekonomi Baru untuk menghapuskan identifikasi pekerjaan mengikut etnik. Selain itu, selepas pilihan raya, dua bidang utama telah ditekankan iaitu bidang pendidikan dan bidang ekonomi kerana kedua-dua bidang tersebutlah yang banyak menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat sebelum peristiwa 13 Mei. 

PERHATIAN INI HANYA HANDOUT SAHAJA. SEKIRANYA ANDA INGIN MENDAPATI ESEI FULL PENULISAN INI BOLEH BERIKAN KOMEN ANDA PADA RUANGAN DI BAWAH. TERIMA KASIH!


Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

- Copyright © Sumber-sumber Ilmu Sejarah yang Berbentuk Ilmiah - Blogger Templates - Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -