Posted by : canalius Monday, February 5, 2018

Sistem Kapitalisme di Amerika Syarikat
Sejarah kewujudan sistem kapitalisme ini bermula dengan idea kepada sosialis Marxist mula digunakan di Amerika Syarikat pada tahun 1870. Marxist yang mengetengahkan teori kapitalisme yang mana teori ini menekankan kepada penguasaan sepenuhnya ekonomi dan politik oleh individu atau pertubuhan tertentu. Dari sudut ekonomi pula, dapat dilihat bahawa kapitalisme ialah tindakan seseorang atau pertubuhan yang menguasai ekonomi untuk mengaut keuntungan yang maksimum. Setelah beberapa tahun teori ini mula terkenal malahan digunakan oleh golongan kapitalis di Amerika. Sebagai contohnya pada tahun 1877, mula ditubuhkan Marxist Socialist Labor Party ataupun Pertubuhan Pekerja yang bercirikan socialist Marxist. Kesan daripada pertubuhan pekerja, maka wujud sektor tertentu yang mendominasi ekonomi di Amerika Syarikat iaitu kemunculan perniagaan besar seperti industri kereta api, industri minyak, dan industri keluli besi. (Krisis-krisis ini wujud adalah disebabkan amalan kapitalisme yang diamalkan di Amerika Syarikat selepas era perang saudara. Walaupun kapitalisme sering dikaitkan dengan produk perindustrian, kapitalisme telah berlaku sebelum adanya mesin dan kilang. Antara aspek yang penting dalam kapitalisme ialah keupayaan pemilik untuk membeli dan menjual hasil produk secara bebas, hak usahawan untuk menjalankan perniagaan secara bebas dan kewujudan jumlah pekerja yang ramai yang tidak terikat dalam undang-undang terhadap  pekerjaan mereka. Oleh itu secara ringkas kapitalisme adalah sistem organisasi ekonomi yang dicirikan dengan pemilikan swasta dalam mana sistem ini memberikan kebebasan kepada individu dalam mengumpul sumber-sumber ekonomi tanpa campur tangan daripada pihak kerajaan)

1.   Industri Kereta Api
Industri kereta api merupakan salah satu perniagaan besar yang dipelopori oleh golongan kapitalis di Amerika Syarikat. Sistem landasan kereta api telah berkembang dengan pesat sekali bermula pada pertengahan abad ke-19, terutamanya setelah kerajaan Amerika telah meluluskan Akta Landasan Kereta Api Pasifik pada tahun 1862 dan 1864. Landasan ini dibina dengan lebih besar bagi mengatasi krisis pengangkutan yang timbul akibat daripada Perang Saudara. Menjelang tahun 1860-an, Amerika semakin mencapai kemajuan dengan adanya sistem jaringan yang dibina hasil daripada kerjasama kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan juga syarikat kereta api. Sebagai contohnya, kerajaan persekutuan yang menyerahkan 131,000 ekar tanah daripada 175 ekar tanah awam, kerajaan negeri pula memainkan peranan dengan menyumbangkan 49 juta ekar kepada industri ini, manakala syarikat kereta api telah memberikan tanah yang belum dibangunkan di bahagian barat. Kesannya, telah menyebabkan syarikat kereta api muncul sebagai perniagaan besar yang pertama pada ketika itu


2.     Industri Keluli Besi
Perniagaan besar yang ketiga yang mendominasi ekonomi Amerika Syarikat ialah industri keluli besi. Industri keluli besi juga telah diperkenalkan selepas industri minyak berjaya mengaut keuntungan di Amerika. Orang utama yang menjadi penggerak kepada industri ini adalah Andrew Carnegie, beliau lebih berminat mencari keuntungan untuk diri sendiri sekaligus membawa kepada pendominasian ekonomi Amerika Syarikat. Kehidupan Carnegie mula berubah setelah beliau menjual saham kereta api untuk keuntungan yang besar sekaligus menyebabkan beliau menjadi jutawan tidak lama kemudian. Sebelum Carnegie berumur 30 tahun, beliau sudah mula melabur wang terutamanya dalam industri besi. Kesannya, dalam beberapa tahun, beliau memiliki saham di perusahaan yang membuat jambatan besi, rel kereta dan rangkaian kereta api.
Dapat diketahui bahawa sistem kapitalisme di Amerika Syarikat dimonopoli oleh beberapa syarikat tertentu seperti syarikat kereta api, syarikat minyak dan syarikat keluli besi.


Krisis Sosial yang berlaku Kesan Daripada Amalan Kapitalisme

1  Pertambahan Penduduk Akibat daripada Kemasukan Pekerja Imigran
Krisis sosial yang berlaku ekoran daripada kesan pengamalan kapitalisme ialah pekerja imigran. Pada akhir abad ke-19, kilang perindustrian semakin meningkat dengan drastik berikutan peningkatan tenaga manusia di kilang. Hal ini disebabkan oleh migrasi besar-besaran ke bandar industri. Terdapat dua aliran migrasi ini iaitu yang pertama aliran dari kawasan pedalaman Amerika ke bandar perkilangan. Kedua, aliran migrasi secara beramai-ramai daripada Asia, Kanada dan kawasan lain selepas Perang Saudara. Kebanjiran pekerja imigran yang sangat ramai ini sangat menguntungkan pengusaha kilang perindustrian yakni di negeri Utara Amerika Syarikat. Antara tahun 1865 dan 1915 memperlihatkan terdapat 25 juta imigran telah sampai di Amerika. Golongan kapitalis telah mengambil kesempatan dalam perkembangan ekonomi Amerika Syarikat dengan melabur modal dalam perindustrian baru seperti pembinaan kereta api, pemprosesan makanan, besi keluli dan perlombongan. Mereka telah mengaut keuntungan yang banyak dengan mengeksploitasi sumber yang terdapat di Amerika ketika itu. Lantaran itu, pekerja imigran mendapat tempat dalam pekerjaan di Amerika Syarikat. Mereka bekerja di tapak perindustrian baru tersebut. Namun begitu, kedatangan pekerja imigran ini turut menimbulkan krisis sosial di Amerika Syarikat. Pekerja imigran di Amerika Syarikat telah mengundang kepada masalah misalnya Amerika mengalami kepadatan penduduk di sana. Pertambahan penduduk secara mendadak berlaku dan hal ini menjadi ancaman kepada penduduk Amerika Syarikat yang menetap di sana sejak dari awal lagi. Kesan daripada pertambahan penduduk, telah menyebabkan sumber ekonomi yang sedia ada tidak dapat menampung keperluan penduduk yang sangat ramai.


2.     Upah dan Keadaan Kerja
Di samping itu juga, krisis yang berlaku akibat daripada pendomiasian ekonomi oleh golongan kapitalis ialah upah dan keadaan kerja. Selepas tamatnya Perang Saudara atau juga dikenali sebagai Civil War di Amerika Syarikat, taraf kehidupan pekerja semakin baik namun demikian, keperluan hidup juga semakin meningkat. Kesan daripada keperluan hidup yang kian meningkat telah menyebabkan industri memberikan kadar upah yang rendah yang mana kebanyakan pekerja mendapat upah yang sangat rendah pada ketika itu. Menjelang abad ke-20, purata pendapatan pekerja adalah antara $400 hingga $500 setahun. Masalah tempoh jam bekerja juga menjadi masalah terhadap pekerja-pekerja di Amerika Syarikat. Misalnya, pekerja kilang bekerja 6 hari seminggu dan selama 10 jam sehari manakala di kilang kilang besi pula, mereka bekerja selama 12 jam sehari.  Tempoh jam bekerja dipanjangkan oleh industri tersebut akibat daripada ingin mendapat keuntungan yang maksimum dengan meningkatkan produktiviti pengeluaran. Perbezaan masa bekerja menjadi suatu krisis sosial di Amerika Syarikat kerana ia berkaitan dengan hak asasi manusia. Selain itu, keadaan di tempat kerja turut menjadi isu terutamanya dalam kalangan pekerja kilang. Keadaan tempat kerja juga menjadi krisis sosial kerana setiap pekerja berhak untuk dilindungi daripada bahaya. Di Amerika Syarikat, kebanyakan pekerja bekerja di tempat yang penuh dengan risiko kemalangan. Lantaran itu, kemalangan di tempat kerja itu dianggap sebagai perkara biasa atau lumrah oleh pihak syarikat yang mana hanya menginginkan keuntungan semata-mata. Mangsa yang terlibat tetap diberi pampasan sama ada dari pihak majikan mahupun kerajaan namun sangat kecil atau tidak setimpal.

3.     Pengeksploitasi Buruh Wanita dan Kanak-kanak
Kilang perindustrian di Amerika Syarikat sangat memerlukan banyak pekerja mahir di samping memerlukan pekerja yang ramai untuk menghasilkan pengeluaran yang banyak. Lantaran itu, wanita dan kanak-kanak diambil bekerja oleh para pengusaha kilang tetapi dengan bayaran upah yang rendah daripada pekerja lelaki dewasa. Mereka diberi upah $6 hingga $8 seminggu iaitu kadar upah yang sangat rendah untuk menampung keperluan harian yang meningkat. Seperkara lagi, wanita turut bekerja di bahagian tempat kerja yang berbahaya. Bagi buruh kanak-kanak pula, kanak-kanak di bawah umur 16 tahun sudah dibenarkan untuk bekerja di kilang. Misalnya, buruh kanak-kanak di kilang kapas di kawasan Selatan Amerika Syarikat bekerja di bawah sinar lampu pada waktu malam dengan memercikkan air sejuk di muka mereka, agar sentiasa bertahan daripada mengantuk. Di samping bekerja di kilang kapas, contoh yang lain ialah di kilang pengetinan, buruh kanak-kanak perempuan memotong buah-buahan dan sayur dalam tempoh masa 16 jam sehari. Mereka sangat terdedah dengan bahaya dan maut kerana bekerja di kilang yang dilengkapi mesin yang berbahaya. Hal ini menambahkan lagi krisis sosial kerana sepatutnya mereka mempunyai hak untuk diberi pendidikan disebabkan umur yang masih terlalu muda.  Pendek kata, golongan kapitalis di Amerika Syarikat telah menggunakan pendekatan insentif buruh dalam mencapai matlamat iaitu memaksimumkan keuntungan dan meminimumkan kos.  

4.     Asimilasi dan Ekslusi
Krisis sosial yang seterusnya ialah berkaitan dengan asimilasi dan ekslusi yang mempengaruhi penduduk tetap di Amerika Syarikat. Umumnya, asimilasi adalah satu proses budaya di mana seseorang atau budaya kumpulan itu akan menyerupai budaya orang atau kumpulan yang lain. Proses pengasimilasian sering berlaku dalam kalangan kelompok masyarakat majoriti yang telah mempengaruhi masyarakat minoriti dalam segala aspek.  Di Amerika pada abad ke 19, ekoran daripada perkembangan bidang perindustrian hal ini telah membawa kepada gelombang penghjrahan imigran secara besar-besaran ke kawasan perindustrian Amerika daripada negara-negara Eropah. Penguasaan golongan kapitalis dalam bidang ekonomi telah membawa kepada penghijrahan secara ramai ke Amerika Syarikat. Pada dasarnya, semua kumpulan imigran berkongsi beberapa persamaan, misalnya mereka adalah kaum imigran, berasal dari luar bandar untuk tinggal di bandar-bandar dan menyebabkan mereka beradaptasi dengan kehidupan golongan di bandar serta membentuk komuniti etnik masing-masing yang sangat erat di Amerika. Kebanyakan imigran di Amerika Syarikat adalah daripada golongan belia yang berumur antara 15 hingga 45 tahun, dan telah mewujudkan komuniti etnik masing-masing yang sangat erat di Amerika dan ianya semakin ketara sekitar abad ke 19. Kemasukan kaum imigran juga telah menyebabkan krisis sosial berlaku iaitu peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan menjadi semakin terhad. Hal ini demikian kerana, golongan imigran yang sanggup bekerja dengan kadar upah yang rendah telah menyebabkan golongan majikan dalam sektor perindustrian lebih cenderung untuk memlilih golongan ini dalam sektor perindustrian. Keadaan ini telah menimbulkan protes daripada kaum bumiputra dan menggesa kerajaan untuk mengambil langkah penyelesaian. Pada tahun 1887, Henry Bowers merupakan seorang peguam yang membenci kaum Katholik dan pedatang telah menubuhkan persatuan American Protective Association (APA) yang bertujuan untuk menentang imigran di Amerika. Tujuannya adalah untuk mempertahankan true Americanism dan menghalang peningkatan kuasa Gereja Katolik di Amerika.

5.     Tekanan dengan Kehidupan Bandar
Tekanan dengan kehidupan bandar juga merupakan salah satu krisis sosial yang berlaku akibat daripada pendominasian golongan kapitalis. Penemuan dan penciptaan teknologi moden akibat daripada revolusi perindustrian mengubah cara hidup manusia serta mempercepatkan perkembangan bandar. Bilangan penduduk di Rochdale hanyalah 15,000 penduduk pada tahun 1801, meningkat kepada 44,000 pada tahun 1851 dan seterusnya mencatatkan pertumbuhan penduduk yang mendadak kepada 83,000 pada tahun 1901. Pertambahan penduduk bandar abad ke 19 meningkat kerana tawaran peluang pekerjaan oleh sektor perkilangan di samping kemudahan pengangkutan awam yang wujud di kawasan bandar. Hal ini secara langsung telah menyebabkan bilangan penduduk yang meningkat secara tidak terkawal terutamanya di bandar.  Proses perbandaran ataupun urbanisasi tidak terkawal dengan penghijrahan yang dinamik dari luar bandar yang telah membanjiri bandar yang sudah padat dengan penduduk untuk mencari peluang pekerjaan. Disebabkan tumpuan penduduk di kawasan bandar semakin bertambah memberi kesan kepada permintaan terhadap sektor perumahan semakin meningkat. Hal ini seterusnya mengakibatkan rumah didirikan tanpa mengambil kira aspek kemudahan awam, dan sosial serta kesihatan yang mengakibatkan timbulnya masalah yang merunsingkan. Akibatnya, keadaan tempat tinggal menjadi tidak teratur dan sesak sekaligus menyebabkan bandar menjadi kotor, dilanda penyakit berjangkit, masalah setinggan, rumah yang  disusun terlalu rapat dan tidak seragam. Kemiskinan dan masalah setinggan merupakan sesuatu yang malang yang tidak dapat dielakkan dan masalah tersebut merupakan kesan negatif daripada persaingan yang wujud. Masalah berlaku di bandar akibat daripada ledakan peningkatan penduduk bandar, lebih teruk lagi apabila kemudahan awam tidak disediakan kepada penduduk dan tiada kawalan pembangunan menjadikan keadaan semakin bertambah buruk. Hal ini juga telah mewujudkan beberapa masalah yang timbul kepada masyarakat bandar ketika itu. Masalah yang amat ketara berlaku di bandar adalah kehidupan yang miskin lalu mendorong mereka untuk merempat. Keadaan ini telah meningkatkan masalah jenayah sosial di kalangan masyarakat bandar seperti pelacuran, mencuri, pembunuhan dan sebagainya. Keadaan di kawasan perumahan adalah sangat sesak dan keadaan tempat kerja khususnya di kilang juga sangat teruk. Beliau menyatakan bahawa perkembangan perindustrian di bandar-bandar utama pada abad ke 19 menyebabkan kadar kematian semakin meningkat akibat daripada terkena penyakit berjangkit. Di samping itu juga, terdapat bandar seperti London mengamalkan kerja yang bermusim iaitu pada setiap tahun terutamanya pada musim sejuk, pekerjaan sukar dilakukan dan terdapat tempat bekerja terpaksa ditutup. Kesannya, mengundang kepada kadar pengangguran dalam kalangan pekerja. Dalam keadaan seperti ini, usaha pekerja menyimpan wang adalah sangat sukar. Begitu juga dengan kelas pertengahan yang terpaksa terlibat dengan pekerjaan yang tidak bermoral seperti penglibatan wanita yang bekerja sambilan sebagai pelacur untuk mencari rezeki.

6.     Krisis Orang Kulit Hitam
Dalam pengamalan sistem kapitalisme, isu perkauman untuk kaum kulit hitam sering digunakan. Setelah berakhirnya Perang Saudara (1861-1865), sistem perhambaan di Amerika telah dihapuskan. Golongan hamba yang terdiri dari orang berkulit hitam menjadi orang bebas. Dalam Era Rekonstruksi, kerajaan di selatan telah memperkenalkan “Black Code” untuk orang kulit hitam yang memberikan hak yang minimum untuk orang kulit hitam. Prejudis antara kaum juga tidak dapat dielakkan. Hal ini kerana orang kulit putih menganggap bahawa darjat mereka lebih tinggi berbanding orang kulit hitam. Di Amerika Syarikat, “racial policy” yang digunakan oleh para kapitalis membolehkan kesatuan pekerja tidak dapat dicapai. Para majikan juga menggalakkan konflik kaum dan etnik dalam kalangan pekerja menyebabkan majikan memperoleh kuasa yang maksimum manakala para pekerja mendapat hak yang minimum untuk bersuara. Orang kulit hitam juga sering digunakan sebagai “strikebreaker” agar pekerja kulit putih tidak melancarkan mogok dan mengajukan permintaan “demand” kepada majikan. Oleh itu, strategi golongan kapitalis menggunakan polisi perkauman telah memperkuat perkembangan kapitalisme Amerika dan perkara ini telah membawa kepada prejudis yang tinggi antara satu sama lain. Selain daripada konflik perkauman yang dicetuskan oleh golongan kapitalis, golongan kulit putih juga mendapat bayaran yang lebih sedikit berbanding orang kulit hitam dan diberikan beberapa kelebihan politik dan sosial. Meskipun begitu, orang kulit hitam menampakkan kepinggiran yang sangat jelas apabila mereka majoritinya mendapat pekerjaan yang sangat tidak diingini. Pekerjaan yang dianggap berprestij dalam kalangan orang kulit hitam terdiri daripada tukang gunting rambut dan cikgu sahaja. Hal ini dapat dilihat di Cincinnati pada tahun 1890 apabila rekod menunjukkan tiada satu pekerja yang berkulit hitam pun bekerja dalam bidang pertukangan dan bidang-bidang kemahiran yang lain. Hal ini menunjukkan bahawa berlakunya berat sebelah dalam pengambilan pekerjaan terhadap orang kulit hitam.

7.     The Pullman Strike
The Pullman Strike merupakan kesan daripada pengamalan kapitalisme di Amerika. Sistem kapitalis membolehkan majikan mengenakan peraturan baharu terhadap pekerja termasuklah mengurangkan gaji. Syarikat Pullman Palace Car menghasilkan ‘sleeping and parlour cars’ untuk kereta api. Syarikat ini turut membangunkan pekan Pullman sebesar 600 ekar dengan menyediakan rumah untuk menyewakan rumah kepada pekerjanya melalui sistem potongan gaji. Krisis ini bermula pada tahun 1884 apabila Syarikat Pullman mengurangkan gaji pekerja sebanguak 33 peratus, tetapi mengekalkan harga sewanya, yang ditolak daripada gaji pekerja. Perwakilan pekerja yang mempersoalkan polisi syarikat dipecat. Keenganan pemilik syarikat ini iaitu George M. Pullman untuk mengurangkan bayaran sewa di pekannya menyebabkan para pekerja melakukan mogok.  Para pekerja Syarikat Pullman telah meminta sokongan Eugene V. Debs dari American Railway Union dan kesatuan telah bersetuju untuk membantu pekerja-pekerja Pullman dengan memboikot Keretapi Pullman. Sebuah konfrontasi telah meletus yang menyebabkan lebih kurang 12 kematian, kecederaan dan kerosakan harta benda iaitu 600 kereta muatan di jalan kereta api Chicago pada bulan Julai 1894. Kesannya, Debs telah ditangkap atas dakwaan konspirasi terhadap konfrontasi dan menerima hukuman enam bulan penjara bagi melemahkan gerakan mogok pekerja. 75 peratus daripada pemogok juga telah disenarai hitamkan daripada diterima semula bekerja dalam sektor kereta api.  

Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya, pengamalan dasar ekonomi kapitalis di Amerika Syarikat pada abad ke-19 telah menyebabkan timbulnya beberapa krisis dalam kalangan orang Amerika Syarikat terutamanya krisis dalam aspek sosial. Kapitalisme di amalkan di Amerika Syarikat oleh golongan kapitalis yang mana merupakan pemilik syarikat kereta api, syarikat minyak dan syarikat keluli besi. Golongan ini secara langsung telah memonopoli ekonomi disana bahkan kedudukan ahli perniagaan adalah lebih tinggi berbanding ahli politik. Secara langsung, telah membawa kepada berlakunya krisis sosial ekoran daripada pengamalan sistem kapitalisme pada tahun 1877 sehingga tahun 1896. Antara krisis sosial yang dapat dikenal pasti seperti hal yang berkaitan dengan pertambahan penduduk akibat daripada kemasukan pekerja imigran, upah dan keadaan kerja, buruh kanak-kanak dan wanita, asimilasi dan eklusi serta tekanan kehidupan masyarakat di bandar. Secara umumnya pengamalan dasar ekonomi kapitalis di Amerika Syarikat telah mewujudkan jurang perbezaan yang ketara antara golongan yang kaya dengan mereka yang miskin. Persaingan yang sengit dalam ekonomi telah berjaya menyisihkan mereka yang lemah. Kapitalisme juga merupakan satu sistem ekonomi yang menggalakkan pelaburan dan perniagaan secara persendirian, berbanding ekonomi kawalan kerajaan. Melalui sistem kapitalisme yang berlaku di Amerika Syarikat, individu dan syarikat perseorangan berhak untuk memiliki dan menggunakan kekayaan mereka untuk menjana pendapatan sekaligus menyebabkan keuntungan yang maksimum. Selain itu, buruh luaran ataupun golongan imigran diupah untuk melakukan kerja di sektor tertentu dengan kadar gaji yang rendah. Bagi mengawal amalan perniagaan yang berbentuk diskriminasi, kerajaan telah membentuk undang-undang yang pertama iaitu Akta Perdagangan Antara Negeri (Interstate Commerce Act) yang diluluskan pada tahun 1887. Satu lagi akta yang diwujudkan iaitu Akta Anti-Perbadanan Sherman pada tahun 1890 (Sherman Antitrust Act 1890) yang merupakan pengisytiharan Kongres yang pertama menentang kewujudan monopoli.



Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

- Copyright © Sumber-sumber Ilmu Sejarah yang Berbentuk Ilmiah - Blogger Templates - Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -