Keberkesanan usaha pembaratan sultan Salim III kearah mengembaikan kegemilangan Empayar Uthmaniyyah.
Posted by : canalius
Monday, February 5, 2018
PENGENALAN
Empayar uthmaniyyah
merupakan sebuah empayar Islam yang terbesar dan telah memerintah lebih dari
600 tahun, bermula dari tahun 680H/1281M sehinggalah tahun 1924 M. Sultan Salim
III merupakan anak kepada Mustafa III yang berbakat dan disayangi serta merupakan
harapan. Sultan salim III menggantikan bapa saudara baginda iaitu Sultan Abdul
Hamid I. Bapa dan bapa saudaranya banyak
mendedahkan idea-idea barat dari sudut pentadbiran dan ketenteraan kepada sulta
Salim III. Sultan salim III telah
dilatih oleh bapa saudaranya dalam bidang pentadbiran dan memperkenalkan
baginda kepada tokoh-tokoh pemerintah Eropah.
Pembaratan
Politik
Baginda telah memusatkan
pentadbiran di seluruh negara kepada satu. Dalam pentadbiran baginda, seramai
dua belas orang menteri telah dilantik bagi mengagihkan kuasa Perdana Menteri
di samping untuk mengelakkan berlakunya penyelewengan kuasa oleh Perdana
Menteri. Hal ini kerana baginda menyatakan dan berpandangan bahawa limpahan
kuasa yang luas akan atau sering kali membawa kepada penggantian Perdana
Menteri yang kerap dan tidak efisyen. Begitu juga dengan polisi yang dijalankan
oleh perdana menteri semasa Jenessari telah mengalami perubahan semasa
pemerintahan Sultan Salim III. Polisi yang dijalankan oleh Perdana Menteri
semasa Jenissari telah dihapuskan dan telah ditukar kepada polisi yang baru
iaitu, Perdana Menteri akan dibantu oleh dua belas orang menteri untuk
mengelakkan penyelewengan kuasa oleh Perdana Menteri. Baginda juga telah
mewujudkan akta parlimen bagi menghad dan mengawal kuasa Perdana Menteri yang
dikawal oleh baginda sendiri.
Baginda juga telah
mewujudkan pelbagai jabatan dengan satu ketua di setiap jabatan. Selain setiap
jabatan mempunyai ketua, setiap jabatan juga telah diisi oleh baginda dengan
setiausaha-setiausaha, kerana sebelumnya dilihat baginda keadaan
jabatan-jabatan yang terbabit berterabur dan tidak teratur. Antara
jabatan-jabatan yang diwujudkan oleh Sultan Selim III ialah, Jabatan Asafi
iaitu merupakan sebuah jabatan Perdana Menteri, dan Jabatan Rais Al-Khutab yang
bertujuan untuk membantu Perdana Menteri dalam Hal ehwal pantadbiran. Segala
aspek yang menjurus kepada rasuah seperti pemberian hadiah telah dihapuskan
oleh Sultan Selim III. Baginda juga telah menghadkan tempoh bagi pegawai yang
memegang jawatan di peringkat wilayah kepada tiga tahun.
Sultan Selim III telah
mengubah sistem kewangan sebagai langkah pertama dalam pembaharuan bidang
ekonomi Empayar Uthmaniyyah. Baginda menghantar wakil-wakil ke luar negeri
seperti ke negara Austria untuk mengkaji tentang sistem kewangan di negara itu.
Contohnya seperti, baginda telah menghantar Abu Bakar Latif ke Austria untuk
mengkaji sistem pentadbiran dan sistem kewangan. Dalam bidang ini juga baginda
telah mengubah sistem pungutan cukai. Sebelumnya sistem pungutan cukai adalah
dikuasai oleh individu untuk kepentingan
mereka sendiri. Individu yang menjalankan kutipan cukai itu adalah
seperti Gabenor dan tentera Jenessari. Baginda mengubah sistem pungutan cukai
daripada pungutan oleh individu kepada pungutan yang dikawal secara langsung
oleh Pusat.
Selain itu baginda juga
telah mengurangkan cukai pertanian dan mangukuhkan nilai mata wang. Begitu juga
dengan sektor pertanian dan perlombongan, perdagangan eksport dalam kedua-dua
sektor ini telah diperluaskan oleh baginda. Sultan Selim III telah
memperluaskan perdagangan dengan pihak Eropah terutama dalam perdagangan
minyak. Akibat daripada perluasan perdagangan dengan Eropah ini kerajaan
Empayar Uthmaniyyah telah mendapat faedah dari segi perkilangan untuk membuat
senjata peperangan. Sistem tanah Timar atau tanah yang diberi kepada tentera
Jenessari dipantau oleh pegawai-pegawai pusat agar tidak diselewengkan dan
mengelakkan daripada berlakunya perebutan justeru itu tanah ini telah di pantau
oleh pusat pemerintahan. Pengekalan nilai mata wang, dengan meluaskan aktiviti
eksport barangan pertanian dan perlombongan kerana pada masa itu Eropah dan
Perancis mengalami revolusi perindustrian.
Pembaharuan
Ketenteraan
Selain daripada
pembaharuan dalam bidang pentadbiran dan ekonomi Sultan Selim III juga telah
membuat pembaharuan dalam bidang ketenteraan kerana pada masa itu Empayar
Uthmaniyyah berdepan dengan masalah peperangan. Baginda mengambil langkah yang
bijak apabila telah membuat pembaharuan kepada bidang pentadbiran dan ekonomi
terlebih dahulu untuk menjayakan matlamatnya iaitu membuat pembaharuan alam
bidang ketenteraan. Badinda telah memulihkan ketenteraan Jenessri. Dalam
pembaharuan ketenteraan ini, telah menilai semula segala pemberian yang
berbentuk insentif kepada Tentera Jenessari iaitu seperti pemberian Timar.
Hasil daripada penilaian semula yang telah dibuat oleh Sultan Selim III ialah,
Timar telah di ambil alih dan dipantau oleh kerajaan Pusat untuk mengelakkan
perebutan dan agar tidak diselewengkan. Pembaharuan pasukan-pasukan lain adalah
lebih bersifat radikal. Kira-kira 300,000 orang tentera Jenessari di bahagi
kepada dua untuk memperbaiki kebolehan dan disiplin mereka . Gabenor sesebuah
daerah dan wilayah diperintahkan untuk mendidik anak-anak muda untuk menjadi pengikut
mereka untuk melengkapkan penganti-penganti sebagaimana yang diperlukan .
Anak-anak kepada ahli-ahli hanya akan diterima masuk sekiranya mereka ada
kebolehan. Berkaitan dengan senjata, pembaharuan yang amat berjaya adalah
meriam (Topgu), mortar (Humbaraci) dan Cannon-Wagon (Top Arabic) yang sudah
sedia dipengaruhi oleh kerja-kerja Tott . Telah melantik Yussuf Fasa untuk
menjadi Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam memajukan ketenteraan atau
memodenkan ketenteraan Empayar Uthmaniyyah. Justeru itu, Perdana Menteri yang
bertanggungjawab dalam pemodenan ketenteraan Empayar Uthmaniyyah telah
mengambil jurulatih daripada Russia yang
merupakan tentera Russia yang telah berpaling tadah dan seterusnya
dibawa masuk ke Empayar Uthmaniyyah.
Pembaharuan dalam bidang
ketenteraan ini lebih menekankan beberapa aspek, termasuklah pembinaan. dan
teknologi persenjataan. Mencuba untuk membina kilang-kilang senjata samada
senjata jenis ringan dan berat. Selain itu, dalam latihan ketenteraan,
pembaharuan yang dilakukan ialah corak latihan yang diadaptasi daripada corak
latihan tentera-tentera Perancis dan Russia begitu juga dengan mengikuti kursus
peperangan dari Russia dan telah mewujudkan pusat-pusat latihan tentera.
Sebagai permulaan telah dilakukan secara rahsia, Sultan Selim III telah
melantik seramai seratus pemuda untuk mengikuti latihan ketenteraan,
pegawai-pegawai dibayar gaji. Selain daripada mewujudkan pusat-pusat latihan
tentera, sekolah-sekolah tentera dan sekolah kejuruteraan tentera juga
diwujudkan untuk menjalankan semua jenis atau aspek ketenteraan. Sultan Selim
III telah memperbaharui beberapa sistem ketenteraan Empayar Uthmaniyyah
antaranya ialah, Sistem Armanda Laut iaitu ketenteraan yang berkaitan dengan
pelayaran, memodenkan kubu-kubu utama dan pembaharuan yang terakhir ialah
mencetak buku-buku ketenteraan Perancis dan diagihkan kepada pelatih untuk
dipelajari, ekoran daripada buku-buku tentera ini yang ditulis dalam bahasa
Perancis maka, adalah diwajibkan mempelajari bahasa Perancis untuk menguasai
segala yang terkandung didalam buku-buku tentera itu. Armanda laut yang
diperkenalkan adalah mengikut teknologi barat. Pelbagai mata pelajaran baru
diajar seperti, geometri yang digunakan untuk pelayaran, kartografi dan
sebagainya. Pembaharuan yang semakin jauh ini telah menyebabkan tertubuhnya
aspek perubatan ketenteraan untuk menjaga kesihatan para tentera. Selain
daripada itu telah diwujudkan juga dana-dana ketenteraan.
Reaksi
Terhadap Pembaharuan
Bolehlah disimpulkan
bahawa pembaharuan yang dilakukan oleh Sultan Selim III adalah atas bantuan
Kuasa Barat dan ini telah menyebabkan para ulama menentang program Sultan Selim
III atas dasar ia merupakan perbuatan bid’ah dan juga dikira berdosa untuk
menerima bantuan daripada orang kafir . Sementara itu, pihak Jenessari selain
menerima pendapat tersebut, juga bimbang bahawa perubahan yang sedang berlaku
itu akan menyebabkan mereka kehilangan pengaruh. Sehubungan dengan itu, sayugia
diketahui bahawa sebelum itu pihak Jenessari sememangnya disanjung sebagai tentera
yang terbaik dan dilayan dengan istemewa. Akibat daripada penentangan itu,
Sultan Selim III telah digulingkan pada tahun 1807 atas alasan ia telah
menyalahi Syarak dan terpengaruh oleh bangsa Eropah.
Penilaian
dan Analisis
Pembaharuan yang telah
dilakukan oleh Sultan Selim III untuk mengembalikan zaman kegemilangan Empayar
Uthmaniyyah adalah tanggungjawab semua pemimpin Empayar Uthmaniyah dan tindakan
baginda mengambil kemodenan Barat sebagai contoh adalah tidak salah. Melihat
kepada kejayaan yang di capai melalui pembaharuan itu, Empayar Uthmaniyyah
Hanya berjaya dibangunkan dari sudut fizikal sahaja. Selain daripada itu, yang
lebih mengagumkan ialah perkembangan inteektual yang amat drastic hanya
disebabkan oleh satu faktor terbesar iaitu ketenteraan.
Walaupun usaha-usaha oleh
Sultan Selim III berjaya membangunkan Empayar Uthmaniyyah dari pelbagai aspek,
namun ia tidak dapat mengembalikan zaman kegemilangan Empayar tersebut semasa
pemerintahan Sultan Muhammad al-Fatih. Hal ini adalah kerana Sultan Selim III
terlalu mengagungkan Revolusi Perancis dan mengabaikan nasihat ulama yang
khuatir dengan keikhlasan Perancis membantu Empayar Uthmaniyyah. Golongan ulama
yang berpendidikan tradisional tentulah masih segar diingatan mereka semangat
Perang Salib, justeru itu menentang Sultan Selim III mendapat bentuan dari
kuasa bukan Islam. Begitu juga dengan undang-undang rasuah yang dijalankan
hanya di peringkat bawahan sahaja sedangkan di peringkat atasan masih berlaku.
Kesimpulan
Tidak dinafikan
pembaharuan yang dilakukan oleh Sultan Selim III berkesan memajukan dan
memodenkan Empayar Uthmaniyyah dengan baik dari segi pentadbiran, ekonomi, dan
ketenteraan. Namun, idea-idea pembaratan yang diterima oleh baginda bulat-bulat
tanpa memikirkan kesannya tidak dapat membawa kepada zaman kegemilangan Empayar
Uthmaniyyah seperti semasa Sultan Muhammad al-Fatih yang merupakan matlamat
uatma Baginda. Hal ini adalah diakibatkan daripada kelemahan dirinya sendiri
yang terlalu percaya kepada Barat atau juga disebabkan oleh faktor persoalan
keimanan dan jihad kerana jika dibandingkan dengan zaman kegemilangan Empayar
Uthmaniyyah itu, Sultan Selim III lebih menumpukan kepada peningkatan
ketenteraan berasaskan idea-idea Barat semata-mata dan kurang memberi perhatian
kepada persoalan Jihad dan Keimanan seperti mana zaman pemerintahan Sultan
Muhammad al-Fatih.