Posted by : canalius Sunday, February 4, 2018

          


     a)      Zheng He (1371-1433)
     a)      Cristopher Columbus (1451-1506)
1.0       PENGENALAN
Pelayaran Christopher Columbus dan Zheng He telah membawa kepada pelbagai penemuan baru dalam peta dunia. Penemuan tempat-tempat baru menjadi salah satu sumbangan tokoh pelayaran yang unggul ini dalam sejarah pelayaran dunia. Peta yang dilakarkan juga telah membantu pelayar-pelayar yang terkemudian untuk menuju kawasan yang mereka kehendaki. Lantaran itu, peta hasil daripada pelayaran tokoh pelayar dunia ini telah membawa kepada proses-proses penerokaan tanah-tanah di seberang laut. Sesungguhnya, tokoh-tokoh pelayar seperti Christopher Columbus dan Zheng He ini merupakan antara manusia yang bukan sahaja telah berjaya mengubah peta dunia malahan melakukan perubahan besar dalam sejarah tamadun manusia dalam aspek kelautan. Pendek kata, kolonisasi di kawasan baru oleh kuasa asing mula berlaku melalui petunjuk-petunjuk yakni catatan-catatan penjelajahan yang telah mereka hasilkan. Misalnya, penjajah Barat seperti Inggeris telah mula menduduki kawasan-kawasan seperti Australia, Amerika, Tanah Melayu dan banyak lagi tempat di dunia dengan tujuan eksploitasi ekonomi demi kekayaan negara mereka.

2.1       ZHENG HE

2.1.1    LATAR BELAKANG ZHENG HE
Zheng He merupakan seorang tokoh pelayar dari China yang sangat terkenal dalam sejarah dunia pelayaran. Beliau dilahirkan sekitar tahun 1371 di wilayah Yunnan, China dan meninggal dunia pada tahun 1433. Nama lain beliau ialah Ma Sanbao, Ma He dan Cheng Ho.[1] Dalam keluarga Ma, beliau adalah anak kedua tertua dan keluarganya ini pernah bekerja di bawah pemerintahan Genghis Khan yakni bangsa Mongol yang memerintah China iaitu era yang dipanggil Dinasti Yuan. Keluarga Zheng He dipanggil atau tergolong dalam kelompok Kasim iaitu tawanan yang dikebirikan dan menjadi hamba ketika di bawah penguasaan Dinasti Ming. Beliau dikebirikan di Kunming, China dan tinggal di rumah Zhu Di yakni putera keempat Zhu Yuanzhang.[2] Zhu Yuanzhang ialah maharaja China yang telah mengasaskan Dinasti Ming dengan memakai gelaran Maharaja Hongwu. Anaknya pula iaitu Zhu Di juga telah menjadi maharaja China yang seterusnya pada zaman Dinasti Ming dengan nama gelarannya sebagai Maharaja Yongle.

Keluarga Zheng He merupakan keluarga muslim dan Zheng He adalah seorang penganut agama Islam yang taat.[3] Ketika Zhu Di menaiki takhta dinasti Ming sebagai maharaja yang ketiga, Zheng He telah menjadi penasihat terdekat baginda dan digelar sebagai Kasim Agung kaisar atau maharaja China. Ciri-ciri perwatakan lain yang terdapat pada Zheng He ialah memiliki tinggi badan lebih dua meter dan berat badan lebih dari seratus kilogram. Kemasyhuran yang menjadi entiti beliau ialah mengetuai beberapa armada harta (kapal harta) kerajaan China yang telah menerokai dan berdagang melintasi Asia dan Afrika. Ekspedisinya berjaya meluaskan perdagangan China merangkumi Asia Tenggara, India, Arab dan Afrika.[4] Pelayaran beliau ini ditaja oleh kerajaan China iaitu kerajaan Ming.

2.2       AMADA LAUT ZHENG HE
Kapal atau armada laut Zheng He dikenali sebagai Baochuan atau Kapal Harta (Treasure Fleets).[5] Baochuan ini mempunyai sembilan tiang dengan 122 meter panjang pada dek. Kapal ini juga adalah kapal kapal laut yang diperbuat daripada kayu yang terbesar pernah dibina mengalahkan kapal pelayar Portugis Vasco da Gama. Ia mengandungi beratus-ratus kargo yang lebih kecil, kapal perang dan kapal bekalan untuk berpuluh-puluh orang. Sekitar 100 hingga 200 buah kapal laut yang berbeza saiz berada di kapal ini. Seperkara lagi, terdapat enam jenis kapal termasuk kapal harta, kapal kuda, kapal padi, kapal tangki air, kapal pimpinan dan kapal perang.



[1] “The Ages of Exploration” dlm, http://exploration.marinersmuseum.org/subject/zheng-he/. Diakses pada 29           Mac 2017.
[2] Kong Yuanzhi, Cheng Ho Muslim Tionghoa: Misteri Perjalanan Muhibbah di Nusantara, Jakarta:           Yayasan Pustaka Obor Indonesia, hlm. 31.
[3] Tan Ta Sen, Cheng Ho: Penyebar Islam dari China ke Nusantara, Jakarta: Penerbit Buku Kompas, 2010,               hlm.        55.
[4] Gavin Menzies, 1421, Saat China Menemukan Dunia, Jakarta: Pustaka Alvabet, 2002, hlm. 30.
[5] “Voyages of Zheng He, 1405-1433” dlm. http://ngm.nationalgeographic.com/ngm/0507/featue2/map.html.           Diakses pada 30 Mac 2017.


UNTUK ESEI FULL BOLEH email ke canaliusjolumin@yahoo.com atau komen pada ruangan di bawah.





Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

- Copyright © Sumber-sumber Ilmu Sejarah yang Berbentuk Ilmiah - Blogger Templates - Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -