CABARAN KEPADA NEGARA YANG BARU MERDEKA TERHADAP KONFLIK DENGAN GERAKAN PEMISAH DI ACEH TERHADAP KERAJAAN INDONESIA
Posted by : canalius
Sunday, February 4, 2018
1.1
PENGENALAN
Proses dekolonisasi di
Asia Tenggara menyebabkan satu persatu negara di rantau Asia Tenggara yang
dijajah telah dibebaskan dan membentuk pemerintahan sendiri tanpa campur tangan
pihak luar dalam pentadbiran domestik. Dalam tempoh awal setelah memperolehi
kemerdekaan dan berusaha untuk memajukan negara, pelbagai cabaran yang terpaksa
dihadapai oleh beberapa buah negara di rantau ini. Cabaran yang dihadapi ini
bukan sahaja di dalam negara itu sendiri tetapi juga melibatkan negara luar atau
jiran. Salah satu cabaran yang dihadapai dalam sesebuah negara yang baru
merdeka ialah gerakan pemisah. Gerakan pemisah adalah merupakan satu gerakan yang cuba mendapatkan hak dan
kemerdekaan untuk mewujudkan sebuah negara kearah pemerintahan sendiri. Di Asia
Tenggara, gerakan pemisah ini sering dikaitkan dengan konflik yang dihadapai
dalam sesebuah negara yang mempunyai pelbagai etnik atau suku kaum minoriti. Andrew
Tan melihat gerakan pemisah sebagai suatu proses yang melibatkan kumpulan etnik
yang bertindak untuk berpisah atau memiliki kuasa autonomi dari kerajaan pusat,
de facto, de jure dalam pemberian wilayah melalui organisasi atau paksaan.
Gerakan pemisah mendapat perhatian antara negara-negara
yang terlibat dan juga negara-negara yang merupakan ahli kepada pertubuhan
ASEAN. Bagi mereka, isu gerakan pemisah merupakan isu yang sangat serius kerana
ia melibatkan hak kesamarataan dan berkaitan dengan keselamatan serantau. Oleh
itu, dalam penulisan ini akan dibincangkan mengenai isu gerakan pemisah yang
berlaku di Aceh terhadap kerajaan Indonesia. Isu gerakan pemisah di Aceh ini
adalah amat menarik untuk dibincangkan. Hal ini kerana, isu gerakan pemisah di
Aceh antara senario ataupun tuntutan yang paling lama berlaku sehingga
terhasilnya beberapa perudingan dan perjanjian. Justeru itu, dalam penulisan
ini akan dibincangkan mengenai latar belakang konflik di Aceh yang membawa kepada gerakan pemisah.
Seterusnya, faktor-faktor yang membawa kepada gerakan pemisah di Aceh juga akan
disentuh dalam penulisan ini. Perbincangan ini juga akan menyentuh mengenai
usaha-usaha yang telah dilakukan dalam penyelesaian konflik tersebut. Akhir
sekali sebelum kesimpulan, suatu analisis akan dibuat berdasarkan kepada
pandangan penulis melalui pembacaan dan kajian terhadap isu ini.
2.1 LATAR BELAKANG KONFLIK DI ACEH
Konflik yang berlaku di
Aceh mempunyai sejarah yang begitu panjang.
Jika diteliti konflik di Aceh ini mempunyai kaitan dengan hubungan
antara Aceh terhadap pemerintah pusat di Indonesia. Sejarah asal bermulanya
konflik di Aceh ini dapat dilihat kepada dua period iaitu sewaktu Daud Beureuh
tahun 1953 sehingga 1962 dan sewaktu Hasan Tiro dalam deklarasi Gerakan Aceh
Merdeka (GAM) 1976 sehingga 2003.[1] Semasa era Hasan Tiro ini
terdapat tiga fasa penting yang saling berkaitan dalam gerakan pemisah di Aceh.
Namun, dalam penulisan ini fasa-fasa tersebut tidak dibincang secara
terperinci, tetapi penulis cuba untuk menyatakan peristiwa-peristiwa penting berkaitan
dengan konflik di Aceh sekitar 1976 sehinggalah 2003.
2.1.1 Era Daud Beureud 1953-1962
Pada tahun 1953 sehingga
1962 telah terjadi pemberontakan yang pertama di Aceh yakni pemberontakan Darul
Islam (DI) atau dikenali sebagai Tentera Islam Indonesia (TII) yang dipimpin
oleh Teungku Daud Beure’uh.[2] Daud Beure’uh merupakan
seorang pemimpin awam, agama dan tentera di Aceh semasa perang mempertahankan
kemerdekaan Indonesia ketika pencerobohan tentera pertama Belanda pada
pertengahan tahun 1947. Sebagai “Gabenor
Tentera Daerah Istimewa Aceh”, beliau sepatutnya berkuasa penuh ke atas
pertahanan daerah Aceh dan menguasai seluruh pemerintah sama ada awam dan
tentera.
Dalam
persiapan melancarkan gerakan pasukan muslim Daud Beure’uh telah berjaya
mempengaruhi banyak pejabat pemerintah Aceh, khususnya di daerah Pidie. Sewaktu
era ini, pemberontakan berlaku disebabkan oleh kekecewaan rakyat Aceh terhadap
pemerintah Indonesia kerana Aceh tidak diberi kuasa autonomi dengan penerapan
syariat Islam seperti yang telah dijanjikan oleh Presiden Soekarno, tetapi dimasukkan
dalam Provinsi Sumatra Utara. Rakyat Aceh bertambah kecewa lagi apabila Teungku
Daud Beure’uh telah disingkirkan oleh pemerintahan pusat.
essay full boleh tengok di mana ye
ReplyDelete